"[Sila baca hingga habis sebelum buat ijtihad diri untuk memilih mana yang disukai atau yang kekuatan pandangannya lebih diyakini. ]
Sifat solat witir yang disebut oleh nabi Muhammad s.a.w adalah penutup kepada segala solat sunat pada sesuatu malam, persoalan:-
(1) sama ada boleh untuk mendirikan solat sunat yang lain selepas solat witir?
(2) dan adakah boleh ditunaikan witir sekali lagi selepas itu?
Jawapan (1)
= Majoriti ulama berpendapat hal tersebut DIBENARKAN berdasarkan hadis
sohih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, At-Tirmidzi dan Ibn Majah
yang menyebut nabi mendirikan solat sunat dua rakaat selepas solat
witir dan dibaca dalam solat itu surah Al-Zalzalah dan Al-Kafirun.
Isu Jawapan 1
: Ulama berbeza ijtihad dalam menanggapi hukum mereka yang telah
berniat dari awal untuk solat sunat lain selepas witir seperti berikut
:-
(1) Sesiapa yang solat witir tetapi berniat untuk solat sunat lagi selepas itu, sebahagian ulama Maliki berijtihad ia sebagai makruh.
Berdalilkan kepada hadis nabi : Ertinya : Hendaklah kamu jadikan witir
sebagai solat terakhir kamu di setiap malam. (Hadith sohih Riwayat
Al-Bukhari & Muslim)
(2) Seseorang mendirikan solat witir tetapi tiada sebarang niat untuk solat sunat lain selepasnya. Namun atas apa jua sebab, dia mendirikan solat sunat selepas itu. Itu HARUS TANPA SEBARANG MAKRUH.
Ulama menyatakan keharusannya namun mereka berbeza pandangan sama ada :
(1) Hanya solat dengan rakaat genap tanpa witir sekali lagi (2)
dimulakan dengan satu rakaat bagi menggenapkan witir yang telah
dilakukan, diikuti solat sunat dua rakaat biasa dan disudahi dengan
solat sunat dengan witir (rakaat ganjil) sebagai penutup.
Witir Di Awal Dan Dihujung Malam
(1) Pandangan Pertama : Tidak boleh digenapkan witir awal & tiada lagi witir selepas itu.
Ini
merupakan ijtihad majoriti Sahabat Nabi, Tabi'en dan ulama mujtahid
termasuk mazhab Syafie. Berdasarkan ijtihad ini, tidak boleh witir
digenapkan (orang Melayu namakan sebagai ‘buka' witir). Hanya perlu
solat sunat dengan rakaat genap sehingga habis malam TANPA BOLEH
MELAKUKAN WITIR SEKALI LAGI. Nabi menyebut Ertinya : Tiada dua solat
witir dalam satu malam. ( Riwayat Al-Tirmidzi & Ahmad)
Berdasarkan hadis tersebut, Al-Hafidz Al-Iraqi menyatakan
majoriti ulama menolak pandangan yang mengatakan boleh DIGENAPKAN
witir atau dibatalkan bagi membuka ruang solat sunat lain dilaksanakan.
Menurut
nukilan Ibn Abi Syaibah, antara sahabat nabi yang berpandangan
demikian adalah Abu Bakar Al-Siddiq, Ammar B Yasir, Aisyah, Abu
Hurairah dan ramai lagi. Manakala dari kalangan ulama besar tabien
adalah Sa'id Ibn Musayyab, As-Sya'bi, Ibrahim al-Nakhi'e, Sa'id Ibn
Jubair Pandangan itu juga dipegang oleh Sufyan Al-Thawry, Imam Malik,
Imam Ahmad, Abu Thawr, Imam Shafi'e dan Qadhi Iyadh dan ramai lagi.[1]
Menurut
kumpulan ulama ini, pandangan yang membolehkan menggenapkan witir
(buka) dan didirikan sekali lagi di akhir malam adalah lemah, selain
alasan kekuatan dalil yang disandarkan, mereka juga mengutarakan
pertikaian jika witir dilakukan di awal malam, kemudian tidur dan
apabila bangun di hujung malam lalu dilaksanakan sambungannya, itu sudah dikira dua witir yang berasingan disebabkan wudhu yang telah batal dan pemisahan antara keduanya untuk tempoh yang panjang.
Hasilnya,
untuk menganggap witir di awal malam dan yang dilaksanakan di hujung
malam sebagai SATU WITIR adalah lemah, malah Imam As-Syawkani mengatakan
jika dilakukan satu rakaat terlebih dahulu dengan niat untuk
menggenapkan rakaat witir yang ganjil sebelum ini, maka ia sudah dikira
witir kedua, dan jika ditutup pula solat sunat pada malam itu dengan
witir yang lain, tatkala itu witir itu dianggap witir ketiga. Ia jelas
melanggar tegahan nabi.
Selain
itu dinaqal dari Abu Bakar As-Siddiq, Ammar bin Yasir dan Aisyah yang
mengatakan sesiapa yang membatalkan witir ( dengan solat satu rakaat
bagi menggenapkannya) adalah orang yang bermain-main dengan solatnya.
(2) Pandangan Kedua : Boleh digenapkan witir awal dan solat semula di akhirnya.
Pandangan
dan ijtihad berbeza ini menyebut keharusan untuk neutralize witir awal
dengan menggenapkan jumlah rakaat witir yang telah dilakukan iaitu
dengan cara menunaikan satu solat dengan rakaat ganjil. Dengan cara itu,
seolah witir yang sebelum ini berubah menjadi solat genap, tidak lagi
witir.
Mereka
berdalilkan athar dari Ibn Umar r.a yang diriwayatkan berkata
:-Ertinya : Adapun aku, kiranya aku telah solat witir sebelum aku
tidur, kemudian apabila (aku bangun) dan ingin menunaikan solat di
malam hari, akan aku mulakan dengan satu rakaat barang yang telah
selesai dari witirku sebelum ini ( menambah satu agar digenapkan)
kemudian, aku akan solat sunat dua raka'at, dua raka'at, setelah
selesai semuanya, akan aku akhirinya dengan solat witir satu rak'at,
itu adalah kerana Rasulullah mengarahkan kami agar menjadikan solat
sunat terakhir dalam satu malam, adalah solat witir. ( Riwayat Ahmad)
Mereka
juga berpegang kepada dalil athar Uthman Affan r.a :- Ertinya :
sesungguhnya aku apabila aku ingin tidur di awal malam, aku dirikan
solat witir, dan apabila aku bangkit ( di tengah malam) akan ku
gabungkan dengannya (witir sebelum ini) dengan satu rakaat, tidaklah ia
kecuali seperti seekor unta ganjil yang bergabung dengan kumpulannya. (
Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan Tirmidzi)
Diriwayatkan
daripada Ali K.W berkata : Ertinya : Witir itu tiga cara, barangsiapa
yang ingin witir di awal malam, maka perbuatlah, sekiranya dia bangun
di malamnya , mulakan dengan satu rakaat dan diikuti dua rakaat, dua
rakaat sehingga subuh diakhiri witir , maka lakukanlah. ( Kedua) Sesiapa
yang ingin solat dua rakaat sehingga subuh (tanpa diawali dengan satu
rakaat dan diakhiri dengan witir lagi) , maka lakukanlah. (Ketiga),
atau barangsiapa yang ingin terus melewatkan solat witirnya di akhir
malam sahaja (tidak solat witir) di awal malam. (Riwayat Imam Syafie
dalam musnadnya)
KESIMPULAN
(1) Jelas hal ini adalah isu khilaf yang diterima, justeru semua pihak diharap tidak memperlekeh mana-mana pandangan yang berbeza.
Saya pernah mendapati ada individu yang memperlekehkan tindakan
‘membuka witir' dengan menggenapkannya sebagai lucu. Kini telah
disertakan beberapa dalil yang wujud dalam hal tersebut. Walau ia
pandangan yang marjuh (kurang kuat), ia tidak wajar sama sekali untuk dilucukan.
(2)
Di bulan Ramadhan yang mana witir biasanya didirikan sebagai penamat
kepada solat terawih. Jika kita bangkit bersahur dan punyai masa untuk
terus menunaikan solat sunat lain, ia DIHARUSKAN tanpa perlu dimulai
dengan satu rakaat witir. Tidak perlu pula ditutupi dengan witir lain
selepas itu. Wajar dituruti pandangan majoriti ulama yang MELARANG
ditunaikan solat witir sekali lagi di akhir malam. Cukup sekali witir
yang telah didirikan di akhir terawih bersama imam berteatan dengan
saranan Nabi Muhammad s.a.w. (diringkas dengan sedikit pindaan dari
sumber- www.zaharuddin.net (UZAR) Dr. Zaharuddin Abd Rahman).
Pilihan saya : Saya
memilih pandangan bahawa witir hanya dilakukan sekali dan jika dibuat
di awal malam maka tidak perlu membuatnya lagi (dengan apa kaedahpun)
diakhir malam (sebelum subuh), sekalipun, sejak dari awal saya juga
telah merancang untuk membuat solat sunat- solat sunat yang lain diakhir
malam.
Selain
bersandar hujah bagi pendapat pertama (yang lebih kuat) di atas,
Pilihan saya ini adalah turut mengambilkira saranan Dr Abdul Basit,
(berdasarkan terdapatnya satu hadith sahih) bahawa pada malam ramadan,
mereka yang bersama dengan imam sehingga selesai (iaitu solat isyak,
tarawih dan solat witir) akan mendapat kelebihan seumpama beribadah
sepanjang malam hingga ke subuh. (Saya tidak sempat lagi mengesan
hadithnya itu dan mengesahkan ketepatan matannya, bantuan
diperlukan....).
Memandangkan
kebanyakan masjid dan surau termasuk di qariah saya, solat witir 3
rakaat didirikan terus sebaik selesai solat tarawih, maka perlulah saya
setia bersama imam hingga selesai solat witir walaupun saya bercadang
untuk menunaikan beberapa solat sunat disekitar akhir malam sebelum
bersahur.
Walaupun
Dr Abdul Basit mencadangkan agar jemaah berbincang supaya Iman dan
makmum menangguhkan solat witir dan kembali ke masjid atau surau pada
lewat malam untuk menunaikan solat witir seperti yang telah berjaya
dilakukan di masjid/surau tertentu, tapi ia masih belum dapat lagi
direalisasikan di qariah saya.
Walaubagaimana
sekiranya ada pandangan balas dengan hujah-hujah lain, sila kemukakan
kerana kita bersikap terbuka demi mencari pilihan dan cara terbaik
dalam mengamalkan sunnah dan menyesuaikannya dengan realiti hari ini
yang dibelenggu kekelamkabutan yang menyesakkan nafas.
Wallahu taala alam.
hisham-ahmad.blogspot.com
No comments:
Post a Comment